Pada usia begini, saya merasakan masa itu amat pantas berlalu. Yang kecil sudah pun bersekolah, yang tua semakin nampak tua jadinya dan bagi mereka yang lebih Tuhan sayangi, telah pun pergi buat selama-lamanya. Siapa yang ada dan sudah tiada, mereka yang saya kenali rapat ataupun tidak, menyedarkan saya bahawa tiada sesiapa pun yang kekal hidup di dunia ini. Hidup pun diteruskan bersama ingatan dan kenangan.
Walaupun ayah saya telah pergi ketika saya masih remaja, saya bersyukur mempunyai Ibu dan adik-beradik yang lain. Merekalah kekuatan saya. Kehadiran dua anak saudara saya menambahkan kemanisan dalam hidup keluarga saya yang kecil. Natijahnya, seperti keluarga yang lain, kami juga punyai perselisihan faham. Tapi air yang dicincang, bukankah tak akan putus? Syukur kami semua baik-baik saja.
Mungkin dahulu ataupun sekarang, masa itu bergerak pada kelajuan yang sama saja. Mungkin kedewasaan membuatkan saya merasakan masa itu cepat berlalu kerana cara saya melihat kehidupan dari aspek yang sudah pun berbeza dari zaman remaja. Kedewasaan membuat saya lebih menghargai dengan apa yang saya ada. Ia juga memberi kan saya kesedaran dan kesedaranlah yang membuat buat saya bersyukur dalam banyak hal.
Hidup adalah berkisarkan tentang perubahan. Tiada apa yang kekal. Maka bersyukur dan berbahagialah dengan apa yang kita ada buat masa ini. Tiada apa yang pasti tentang esok.
Live in the moment, kawan.