Terus terang saya katakan, kali pertama saya mendaki Gunung Hallasan adalah kerana patah hati. Saya bukanlah seorang gadis hiking tetapi apabila melihat gambar-gambar di laman social media, buat saya mahu bersembunyi seketika di sebalik keindahan Gunung Hallasan ini pada musim luruh. Hamparan pohon-pohon yang bewarna kuning dan kemerahan di sepanjang laluan denai di gunung ini memberikan pemandangan yang begitu puitis sekali. Cuaca dingin pada musim luruh mengurangkan sedikit lelah pendakian. Gunung Hallasan lah yang telah membuka hati saya untuk mencintai percutian kembara seperti ini.
Baru-baru ini pada akhir musim luruh yang jatuh pada pertengahan bulan November, saya sekali lagi mendaki Gunung Hallasan ini. Kali ini bukannya kerana patah hati (penat juga kalau selalu patah hati kan) tetapi saya kembali kerana merindui pemandangan dan kesunyian di situ.
Gunung tertinggi di South Korea : Berapa lama nak sampai peak?
Terletak di Jeju Island, Gunung Hallasan adalah gunung tertinggi di South Korea dan tingginya hanyalah mencapai 1,950 meter. Pendakian di gunung ini dapat dihabiskan dalam masa sehari saja. Pendakian yang santai hanya mengambil sekurang-kurangnya 8 jam saja untuk naik dan turun. Nasihat saya, mulalah pendakian seawal pukul 7 pagi kerana puncak Gunung Hallasan mempunyai had masa untuk anda berada di atas sana dan ia bergantung kepada musim. Seperti pendakian saya baru-baru ini pada akhir musim luruh, had masa adalah sehingga pukul 1.30pm. Ini bermakna saya perlu sampai ke pondok perlindungan yang terakhir sebelum sampai ke puncak yang bernama Jindallaebat Shelter sebelum pukul 12 tengahari. Kalau tidak, tiada pendaki yang dibenarkan untuk menyambung pendakian naik ke puncak Gunung Hallasan.
Berapa lamakah kami mengambil masa untuk mendaki Gunung ini?
Saya dan Fariha mengambil masa lebih kurang 8 jam dan 25 minit untuk menghabiskan pendakian naik dan turun di Gunung Hallasan ini. Pendakian ini diselang-seli dengan berhenti rehat sebanyak dua kali iaitu selama 15 minit di denai Seongpanak dan 25 minit di denai Gwaneumsa. Memulai pendakian dengan agak lambat iaitu pada pukul 9 pagi, kami agak tergesa-gesa menyusuri denai Seongpanak kerana takut tidak sempat untuk sampai ke puncak memandangkan ianya mempunyai had masa. Pada pukul 12.45pm, kami akhirnya tiba di puncak Gunung Hallasan. Waktu itu cuaca sangat baik dan saya dapat melihat Baengnokdam Lake, iaitu kawah gunung berapi dengan jelas sekali. Kami mula mendaki turun pada pukul 1.25pm memandangkan had masa untuk berada di puncak pada musim tersebut adalah sehingga pukul 1.30pm.
Tak perlu mengupah guide untuk mendaki di sini
Dua kali mendaki Gunung Hallasan, saya fikir tak mungkin sesat naik dan turun tanpa megupah guide. Laluan atau denai di sepanjang perjalanan yang dibuat daripada kayu dan juga batu gunung amat mudah dikenal pasti. Apatah lagi terdapat papan tanda sebagai tanda arah dan maklumat mengenai jarak perjalanan. Hanya ada dua laluan sahaja untuk anda sampai ke puncak Gunung Hallasan yang mempunyai kawah gunung berapi bernama Baengnokdam Lake. Laluan tersebut adalah denai Seongpanak dan Gwaneumsa.
Memulai pendakian dari Denai Seongpanak
Jaraknya yang sepanjang 9.6 km ini menjadi pilihan ramai pendaki untuk memulakan pendakian di Gunung Hallasan. Denai Seonpanak yang tidak terlalu curam membuat pendakian ke puncak tidaklah terlalu penat berbanding denai Gwaneumsa. Bila saya katakan tidak terlalu penat, janganlah menganggap pendakian ini sangat mudah dan senang. Anda masih memerlukan stamina dan kesihatan yang baik untuk memulakan pendakian dari denai Seongpanak ini. Nama pun gunung kan, bukannya bukit.
Anda perlu bermula dari pintu masuk atau tempat yang diberi nama Hallasan National Park Seongpanak Trail Entrance. Bagaimana nak ke sini pula kan dari tempat penginapan anda? Bagi yang menyewa kereta, semestinya akan memikirkan untuk guna saja aplikasi Google Maps atau Waze. Tapi di sini saya sarankan lupakan saja kedua-dua aplikasi tersebut. Sebaiknya, muat-turun aplikasi yang bernama Naver Map di smartphone anda.
Naver Map adalah aplikasi Korea online map dalam Bahasa Inggeris yang saya dapati amat mudah digunakan semasa lawatan saya yang kali kedua ke negara tersebut. Jika anda menggunakan aplikasi Google Maps atau Waze, anda mungkin tidak akan menjumpai destinasi yang anda mahu pergi di sekitar Korea kerana kedua-dua aplikasi ini memerlukan anda untuk menaip nama kawasan tersebut dalam bahasa Korea. Tetapi dengan aplikasi Naver Map ini, setiap tempat yang anda ingin lawati di negara tersebut mempunyai nama dalam bahasa Inggeris. Aplikasi ini sangat memudahkan perjalanan saya semasa lawatan saya ke Jeju Island.
Tiada bayaran yang dikenakan dan anda tidak perlu mendaftar nama untuk mendaki Gunung Hallasan ini. Jika anda mempunyai apa-apa pertanyaan sebelum mendaki, anda boleh ke pejabat Hallasan National Park Seongpanak Visitor Center yang berada di sebelah pintu masuk denai Seongpanak. Di sini juga ada menjual minuman dan makanan ringan untuk anda bawa semasa pendakian.
Pemandangan yang sangat cantik di sepanjang Denai Gwaneumsa
Saya lebih menyukai dengan pemandangan di denai Gwaneumsa berbanding dengan Seongpanak. Ianya sangat cantik pada musim luruh. Denai Gwaneumsa yang berjarak sepanjang 8.7km ini mempunyai banyak tangga dan agak curam. Laluan denai ini sangat memerlukan stamina yang kuat jika anda memilih untuk memulakan pendakian di gunung ini. Itu sebabnya saya berpendapat adalah lebih baik menggunakan denai Gwaneumsa untuk turun dari puncak Gunung Hallasan. Anda akan lebih menikmati keindahan di denai ini semasa menyusuri turun tanpa merasa terlalu penat.
Buatlah sijil untuk cenderahati yang manis untuk dibawa pulang
Setelah selesai pendakian, janganlah terus balik tetapi singgahlah di pejabat yang terletak berhampiran pintu masuk denai Gwaneumsa untuk mendapatkan sijil sebagai kenangan. Walaubagaimanapun, sijil ini tidak diberikan secara percuma. Ianya hanya dikenakan bayaran sebanyak 1,000 won (RM 3) sahaja. Masa untuk membuat sijil ini oleh pihak pengurusan tidaklah mengambil masa yang lama. Anda hanya perlu menunggu lebih kurang 10-15 minit jikalau tidak terlalu ramai di barisan menunggu.
Tetapi kereta saya berada di kawasan pintu masuk Seongpanak, macammana tu?
Bagi mereka yang menyewa kereta dan meletakkan kenderaan di kawasan pintu masuk Seongpanak, janganlah gusar. Anda boleh mengambil kenderaan anda dengan menyewa teksi yang selalunya menunggu di kawasan meletak kereta berhampiran dengan tempat anda membuat sijil. Janganlah memilih untuk berjalan kaki kerana jaraknya agak jauh iaitu lebih kurang 10km. Bayaran yang dikenakan oleh teksi adalah sekitar 15,000 sehingga 20,000 won.
Bawalah bekalan makanan dan minuman sendiri
Pengalaman mendaki pada kali pertama dan kali kedua di Gunung Hallasan ini adalah sedikit berbeza dari segi kemudahan tempat menjual makanan dan mengisi minuman. Kali ini saya dapati tiada water station di sepanjang laluan dan juga tiada menjual makanan di shelter terakhir iaitu Jindallaebat Shelter sebelum sampai ke puncak. Oleh sebab itu, bawalah makanan dan minuman secukupnya untuk memastikan anda sentiasa mempunyai tenaga untuk meneruskan pendakian. Apatah lagi pendakian ini akan mengambil masa sehari untuk turun dan naik.
2 comments
COOL . INFORMATIVE. THANKS. WE’LL BE GOIMG TO HALASAN MID SEPT 2019.
Thank you Jay. It would be wonderful to visit Jeju during autumn. I hope you will enjoy your hike in Hallasan as much as I did.